Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dibubarkan berkuatkuasa Jumaat ini.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah, sebentar tadi.

Baginda turut berkenan menandatangani proklamasi pembubaran DUN Selangor, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Dalam istiadat di Istana Alam Shah Klang itu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut berkenan mencemar duli menyaksikan pengumuman itu.

Hadir sama, Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim; Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim dan barisan Ahli Dewan Diraja Selangor.

Selangor antara enam negeri yang akan mengadakan PRN selain Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu. – MalaysiaGazette