Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.

KAJANG – Polis sedang memburu dua lelaki yang disyaki menumbuk dan mencederakan pekerja kedai serbaneka 24 jam kerana berang ditegur membawa keluar barang dari premis tanpa melakukan pembayaran.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pada jam 7.43 pagi pihaknya menerima laporan yang dibuat remaja lelaki berumur 18 tahun berkaitan kejadian dipukul yang berlaku di Semenyih.

“Menurut pengadu iaitu mangsa dalam kejadian ini sedang bekerja di sebuah premis serbaneka 24 jam sebelum pada jam lebih kurang 5 pagi telah didatangi dua lelaki tempatan yang tidak dikenali mahu membeli minuman.

“Kemudian salah seorang dari suspek telah mengambil tiga batang payung dan bertindak keluar dari premis tanpa mahu membuat sebarang bayaran di kaunter,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, berikutan itu pengadu menegur lelaki tersebut dan berlaku pertengkaran antara mereka sebelum suspek kembali ke dalam premis lalu menumbuk pengadu di bahagian muka.

“Selepas kejadian tersebut, suspek beredar meninggalkan premis dan pengadu telah mendapatkan rawatan di hospital dan tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Berikutan kejadian ini, pihak Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan, yang mana jika disabit kesalahan boleh dihukum dengan penjara selama tempoh boleh sampai dua puluh tahun, dan denda atau sebat,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kajang di talian 03-89114222 atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Fatihah Awang di talian 011-25703695. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast