Adly Zahari. Foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2023.

SUNGAI BULOH – Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dialu-alukan sekiranya berminat menyertai parti politik yang menerajui kerajaan sekarang.

Naib Presiden Amanah, Adly Zahari berkata, bekas Menteri Kesihatan itu bebas memilih parti yang ingin disertainya selepas dipecat keahliannya daripada UMNO dan wajar berbuat demikian lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Bagaimanapun, bekas Ketua Menteri Melaka itu juga menjelaskan parti di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kelebihan tersendiri kepada bekas Ahli Parlimen Rembau itu.

“Saya fikir ini adalah terpulang terbaik kepada KJ kerana pertemuannya dengan pemimpin kedua-dua belah pihak (parti kerajaan dan Perikatan Nasional) merupakan cara yang baik untuk beliau sendiri menentukan masa depan serta karier politik baharunya.

“Bagi saya juga, Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar adalah amat baik kerana ia mengambilkira semua pandangan dan semangat perpaduan sejak dari awal pembentukan selepas PRU15.

“Sekiranya, KJ ingin bersama kita (Kerajaan Perpaduan), kita sangat mengalu-alukan kehadirannya dengan hati terbuka,” katanya.

Timbalan Menteri Pertahanan itu berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia dan Sijil PERHEBAT, di Kompleks PERHEBAT, Kem Sungai Buloh hari ini.

Mengulas lanjut, Adly yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil berkata, apa jua pandangan termasuk bakat yang memberi kelebihan dan manfaat untuk masa depan negara dihargai dalam Kerajaan Perpaduan.

Kelmarin, karier politik Khairy kembali menjadi topik selepas bekas menteri itu memberi kejutan dengan menyertai perbincangan mengenai hala tuju ekonomi negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Semalam pula, Khairy dilihat mengadakan pertemuan dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun, beberapa sumber politik mendakwa  Khairy sedang mempertimbangkan dua pilihan untuk meneruskan karier politiknya iaitu dengan menyertai Bersatu atau menubuhkan parti baharu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast