Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Prestasi lemah bursa global berikutan kebimbangan pelabur terhadap ekonomi China mendorong Bursa Malaysia dibuka rendah pada sesi awal dagangan pagi ini, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.58 mata kepada 1,384.75 daripada 1,387.33 pada penutup Isnin.

Indeks utama dibuka pada paras 1,387.24, turun sedikit 0.09 mata.

Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 145 berbalas 94, manakala 203 kaunter tidak berubah, 1,841 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 160.59 juta unit bernilai RM63.15 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, Wall Street ditutup pada Isnin (untuk cuti bank) tetapi prospek di niaga hadapan menunjukkan ekuiti AS mungkin dibuka lemah lewat hari ini, justeru menyebabkan kebanyakan pasaran serantau turut terkena tempiasnya.

Di Hong Kong, Indeks Hang Seng merosot 127 mata ke bawah paras 20,000 semalam.

Sementara di dalam negara, beliau berkata FBM KLCI mengurangkan kerugian sebelum ini untuk ditutup rendah sedikit disebabkan aktiviti pembelian secara meluas pada sesi petang selepas pengumuman Perdana Menteri mengenai pembaharuan untuk memulihkan pasaran saham tempatan, termasuk pengurangan duti setem untuk dagangan ekuiti dalam usaha meningkatkan kerancakan pasaran.

“Kami percaya sentimen keseluruhan sepatutnya mendapat rangsangan daripada langkah itu. Justeru,  kami menjangkakan indeks akan berada dalam aliran antara 1,385 dan 1,395 hari ini dengan beberapa minat dalam sektor kewangan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB dan IHH Healthcare susut empat sen, masing-masing mencatatkan RM5.04 dan RM5.88, Tenaga Nasional turun enam sen kepada RM9.16 manakala Maybank dan Public Bank tidak berubah pada RM8.65 dan RM3.87.

Saham aktif pula, Sarawak Consolidated turun satu sen kepada 41 sen, Classita dan waran Top Glove, kedua-duanya berkurangan setengah sen kepada 8.5 sen, waran TWL Holdings menambah satu sen kepada 1.5 sen dan YTL menguncup tiga sen kepada 93.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas 15.84 mata lebih rendah pada 10,216.97, Indeks FBMT 100 berkurangan 19.49 mata kepada 9,911.60 dan Indeks FBM Emas Syariah lemah 12.10 mata menjadi 10,546.79.

Indeks FBM 70 merosot 30.98 mata kepada 13,518.10 manakala Indeks FBM ACE naik 0.78 mata kepada 5,129.21.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga susut 0.05 mata kepada 788.98 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.08 mata kepada 159.25, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 13.60 mata kepada 15,259.62 dan Indeks Perladangan susut 3.42 mata kepada 6,751.29.

— BERNAMA