SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan menyita tiga buah lori haram yang telah diubahsuai.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN negeri berkenaan, Mohd Khairi Jamaludin berkata, sitaan dibuat menerusi operasi hendap pada dua hari lalu jam 10.30 malam di Seksyen 22, Shah Alam ketika ketiga-tiga buah lori tersebut membuat pengisian selama lebih kurang dua jam, dua hari yang lalu.
“Operasi ini sudulan aduan dan risikan KPDN selama dua bulan. Serbuan berjaya menghentikan kegiatan pengisian minyak diesel oleh tiga buah lori yang mana dua daripadanya jenis bonded manakala satu lagi lori kontena,” katanya ketika sidang media.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati ketiga-tiga buah lori berkenaan diubah suai supaya dapat mengisi puluhan ribu liter minyak diesel.
Jelas Mohd Khairi, Modus Operandi (MO) lori-lori tersebut adalah membuat transaksi lebih kurang 10 kali setiap hari di stesen minyak yang sama bermula dari jam 9 malam hingga 1 pagi.
“Ketiga-tigalori bergerak secara haram bekalan dihantar ke satu tempat pengumpulan yang kita syak tempat pengumpulan haram untuk tujuan apa masih dalam siasatan.
“Masing-masing dipasang tangki tambahan berkapasiti 10,000 dan 20,000 liter minyak manakala sebuah lagi dimasukkan empat unit Intermediate bulk container (IBC) di dalamnya,” ujar beliau.
Katanya lagi, nilai sitaan 13,802 liter dianggarkan berjumlah RM29,674.
Manakala nilai sitaan keseluruhan termasuk kenderaan yang dirempas mencecah RM250,000.
Tambahnya, ketika serbuan KPDN Selangor menahan lima orang lelaki termasuk seorang warganegara asing yang bekerja di stesen mintak berkenaan.
“Kesemuanya mendapat perintah reman selama empat hari bermula hari tangkapan untuk tujuan siasatan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohd Khairi berkata, pihaknya telah memanggil pemilik stesen minyak yang terlibat untuk membantu siasatan.
“Kes berkenaan kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 ke aras pemilik stesen kerana melanggar Peraturan 12A kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 ekoran penjualan diesel lebih 250 luter sehari,” katanya lagi. -MalaysiaGazette