KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melanjutkan pembaharuan lesen bagi Lesen KL Madani untuk setiap enam bulan secara berterusan mulai 1 Julai 2023.
Lesen KL Madani yang sebelum ini dikenali dengan nama Lesen KL Prihatin diberi nafas baru dan dijenamakan semula sejajar dengan matlamat Malaysia Madani.
DBKL berkata, kadar bagi pembaharuan lesen ialah RM20 bagi fi lesen dan RM30 sebulan bagi caj perkhidmatan selaras dengan tempoh dan kadar lesen sementara yang ada.
Pemegang Lesen KL Madani yang akan tamat tempoh lesen, dikehendaki memperbaharui lesen secara dalam talian melalui portal https://elesen.dbkl.gov.my.
DBKL turut mengingatkan kepada mana-mana peniaga yang menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah, lesen tamat tempoh, dan tidak mematuhi atau melanggar syarat-syarat lesen seperti yang telah dinyatakan secara jelas di dalam lesen akan dikenakan tindakan penguatkuasaan dan lesen tersebut boleh dibatalkan. – MalaysiaGazette