KUALA LUMPUR – Kuala Kangsar BRM FC (BRM FC) secara rasminya mengumumkan telah menarik diri dalam kempen Liga Kejuaraan MBSB Bank 2023 selepas hanya mengharungi sembilan perlawanan liga setakat ini.
Pengumuman itu dibuat di laman Facebook kelab yang berpengkalan di Kuala Kangsar itu.
Layak ke separuh akhir pada edisi 2022, BRM FC pada musim ini kelihatan bergelut untuk meneruskan rentak kecemerlangan mereka dan akhirnya terpaksa mengambil langkah drastik ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan kelab tersebut, sebab utama penarikan diri daripada saingan itu adalah berkait rapat dengan isu kewangan yang kian meruncing.
BRM FC dalam satu kenyataan menjelaskan, kegagalan beberapa penaja memenuhi janji antara punca mereka dihimpit dengan masalah kewangan.
“Dukacita dimaklumkan bahawa Ahli Lembaga Pengarah Kelab Bolasepak BRM telah bersetuju dengan sebulat suara agar pasukan ini menarik diri dari Kejuaraan MBSB Bank 2023 oleh kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh kelab. Ini disebabkan beberapa syarikat penajaan yang telah tidak menunaikan janji seperti yang dipersetujui sebelum ini.
“Sehubungan dengan itu, saya mewakili Kelab Bola Sepak BRM memohon maaf kepada semua pemain dan pengurusan pasukan yang telah mencurahkan khidmat mereka di beberapa perlawanan yang telah diharungi pada musim ini.
“Bagaimanapun, tunggakan gaji kepada semua pegawai dan pemain pasukan akan dilunaskan oleh kelab secara berperingkat mengikut jumlah sebenar yang layak diterima oleh mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif BRM FC, Ghafari Nasir dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette