PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan tidak berniat untuk menyisihkan golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin tegar apabila Pangkalan Data Utama (Padu) diperkenalkan dan mula diguna pakai pada tahun hadapan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, dua golongan sosio ekonomi itu akan tetap menjadi keutamaan kerajaan apabila subsidi bersasar dilaksanakan kelak.
“Kita tak berniat untuk menyisihkan B40 atau miskin tegar, mereka tetap golongan sasar.
“Cuma kita nak murnikan lagi data-data sedia ada dan kita nak kemas kini data itu supaya tepat.
“Kita tak nak ada mana-mana pihak yang menyalahgunakan kesempatan itu seperti Padu untuk memastikan data itu asli,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri Perhimpunan Bulanan KPDN Bulan Jun 2023 di Dewan Serbaguna KPDN, di sini.
Terdahulu, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, Padu yang diwujudkan bagi menggabungkan maklumat sosio ekonomi bagi setiap isi rumah di negara ini dalam usaha memperkemaskan pelaksanaan subsidi bersasar akan mula diguna pakai tahun depan.
Beliau berkata, semua maklumat itu akan diproses bersama dalam sistem API dan kemudian maklumat isi rumah akan dimasukkan ke Pangkalan Data Negara dan boleh diakses oleh penganalisis sektor awam.
Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memberi bayangan bahawa kategori sosio ekonomi sedia ada termasuk B40, M40 dan T20 bakal dihapuskan secara berperingkat, tahun hadapan.
Dalam pada itu, Salahuddin berkata, pihaknya akan menjadikan Padu sebagai garis panduan dalam pelaksanan subsidi bersasar dalam memastikan penerima itu benar-benar layak.
“Dengan menggunakan data daripada Padu itu, hasrat Kerajaan kita nak menyampaikan bantuan atau subsidi itu kepada golongan yang benar-benar yang memerlukan, sasaran tepat,” katanya. – MalaysiaGazette
















