KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Perdana Menteri mahu menawarkan posisi berkaitan luar negara kepada Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sany.
Bagaimanapun bekas Ketua Polis Negara itu mahu tinggal dekat dengan keluarga dan jirannya di negara ini.
“Sebenarnya, kecenderungan PM untuk posisikan Tan Sri (Acryl) di satu peranan di luar negara tapi Tan Sri dia ingat cucu dia, keluarga dia dan jemaah masjid dia.
“Saya memberitahu Acryl bahawa saya kenal Datuk Seri Anwar Ibrahim selama 30 tahun dan dia susah menawarkan kepada orang.
“Saya serahkan kepada kebijaksanaan beliau (buat keputusan), saya tadi pun cakap kepada Tan Sri memberikan pemakluman..mudah-mudahan (ubah fikiran dan setuju)..saya ucapkan beliau selamat maju jaya tidak kira berada di mana pun selepas ini,” katanya dalam ucapannya di Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di sini hari ini.
Acryl Sani telah dilantik secara kontrak selama dua tahun bermula 4 Oktober 2021 sebagai Ketua Polis Negara dan sepatutnya berakhir pada 3 Oktober ini.
Tan Sri Razarudin Husain telah dicalonkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Polis sebelum diperkenan oleh Yang diPertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa lalu.
Dalam majlis pagi tadi, Saifuddin Nasution menyerahkan surat watikah pelantikan Razarudin serta Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuatkuasa esok.
Terdahulu, dalam ucapannya Acryl mengakui beliau menerima tawaran perancangan untuk selepas persaraannya nanti dan terharu dengan keprihatinan Anwar yang menawarkan peluang itu.-MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: