Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyampaikan ucapan pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di PULAPOL, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 22 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang akan mengakhir perkhidmatannya esok sebagai Ketua Polis Negara berkata beliau telah menerima tawaran daripada Perdana Menteri.

Katanya, tawaran itu dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau memaklumkan hasrat untuk bersara selepas menamatkan perkhidmatannya pada Oktober depan.

“Saya ingin mengambil kesempatan ucap terima kasih kepada rakyat dan PM prihatin kepada diri saya kerana apabila saya telah suarakan hasrat akan menamatkan perkhidmatan 3 Oktober 2023, PM dengan perihatinnya telah menawarkan perancangan untuk selepas bersara.

“Saya sungguh tak jangkakan akan budi baik yang dipanjangkan beliau (Anwar) untuk saya. Mungkin anda rasa pelik, tetapi percayalah tidak ada apa yang janggalnya dalam proses peralihan kuasa.

“Akan tetapi, sebenarnya situasi telah memaksa saya memendekkan tempoh perkhidmatan dalam PDRM kali ini untuk memenuhi keperluan di luar sana,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Negara antara beliau dan Tan Sri Razarudin Husain di Pusat Latihan Polis, di sini, hari ini.

Mengimbau perjalanan kerjaya selama 37 tahun bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Acryl Sani berkata, beliau menyertai pasukan keselamatan itu sebagai Penolong Penguasa Polis (ASP) pada 2 Februari 1986.

“Ketika itu berlaku kegawatan ekonomi melanda negara dan hasrat saya hanya mahu kelangsungan hidup, namun demikian tak menjangkakan kemasukan ketika itu berterusan sehingga sekarang meninggalkan saru perasan cinta dan kasih sayang ke atas pasukan keramat ini.

“Pasukan inilah yang membina, saya dan keluarga sehingga terhutang budi pada PDRM dan negara dan terharu PDRM terus memastikan masyarakat hidup harmoni jauh daripada huru hara,” ujarnya.

Tambah Acryl Sani , penyertaannya dalam PDRM merupakan satu nikmat yang tidak dapat diungkapkan dan beliau gembira dapat mencurahkan khidmat bakti dalam memelihara kesejahteraan negara. – MalaysiaGazette