Datuk Rozilan Salleh.- foto FAREEZ FADZIL, 08 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar mendapatkan pengampunan diraja terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak demi menegakkan keadilan terhadap beliau.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Rozilan Saleh berkata, kerajaan juga sewajarnya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menambahbaik sistem kehakiman negara.

Selain itu beliau turut mencadangkan agar Peguam Negara menggunakan kuasanya di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan untuk menghentikan prosiding melibatkan 1Malaysia Developmen Berhad (1MDB) yang sedang berjalan.

Rozilan yang juga Setiausaha Akhbar bekas perdana menteri itu berkata, Anwar yang pernah mengalami episod ketidakadilan dalam mendapatkan hak di mahkamah sepatutnya lebih memahami rentetan yang dilalui Najib.

Menurutnya, Anwar mempunyai imperatif moral dan perlembagaan untuk memastikan tragedi 1998 yang menimpa beliau dan keluarga tidak berlaku kepada mana-mana rakyat Malaysia.

“Jika sabitan ketika itu berkait kes penyalahgunaan kuasa selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan yang mengarahkan agensi kerajaan iaitu pihak Cawangan Khas melakukan sesuatu yang beliau ada kepentingan dianggap tidak selamat walaupun telah sampai ke pengesahan peringkat Mahkamah Persekutuan, kenapa dalam kes sabitan Datuk Seri Najib Tun Razak berkait kes SRC boleh dianggap selamat?

“Kita tidak meminta Perdana Menteri selaku pimpinan cabang eksekutif negara untuk campur tangan terhadap urusan cabang kehakiman tetapi kita berharap beliau memainkan peranan imbang serta periksa agar sebarang ketidakadilan dapat diperbetulkan,” kata Rozilan.

Beliau mendakwa, kenyataan Anwar bahawa Hakim Datuk Seri Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak melakukan kesalahan jenayah ketika mengendalikan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan Najib telah melemahkan teras-teras utama kewibawaan keadilan.

Rozilan berkata, keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan tetapi mesti juga kelihatan dilaksanakan dan proses keadilan perlu diberi masa untuk berlangsung tanpa tergesa-gesa untuk mencapai keputusan.

Tertuduh juga sewajarnya diberikan segala keanjalan termasuk mendapatkan khidmat peguam bela yang dipilih sendiri.

Prinsip Nemo Judex in Causa Sua bahawa individu yang menghakimi tidak boleh menghakimi sesuatu yang beliau mempunyai kepentingan di dalamnya, juga perlu ditegakkan.

“Di dalam tidak membenarkan King’s Counsel, yakni peguam pilihan Datuk Seri Najib Tun Razak dan penangguhan prosiding untuk memberi masa kepada pasukan pembelaan baru bersiap telah menyebabkan teras-teras keadilan tercemar

“Dalam terus menghakimi dan tidak mengecualikan diri daripada kes Datuk Seri Najib Tun Razak, Hakim Nazlan telah mendatangkan musibah besar kepada teras-teras utama keadilan,” kata beliau dalam kenyataan.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemui sebarang bukti kesalahan jenayah yang didakwa dilakukan Mohd Nazlan.

Perdana Menteri dalam sidang Dewan Negara berkata, perkara itu diputuskan selepas SPRM menyiasat dan meneliti dakwaan tersebut. – MalaysiaGazette