Dewan Undangan Negeri Selangor

SHAH ALAM – Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan hari ini, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

Pembubaran itu selaras dengan pengumuman Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani pada Isnin lalu selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ini bermakna DUN Selangor yang mempunyai 56 kerusi dibubarkan dua hari lebih awal berbanding tempoh mandat DUN yang akan berakhir pada 25 Jun ini.

Dengan pembubaran itu, pentadbiran Selangor kini ditadbir kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas PRN nanti.

Selangor antara enam negeri yang akan mengadakan PRN selain Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) mendominasi Selangor apabila menang 51 daripada 56 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) dan PAS masing-masing mendapat empat dan satu kerusi.

Kedudukan terkini kerusi sebelum DUN dibubarkan ialah PH memiliki 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua) manakala PAS, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.

Satu lagi kerusi, DUN Batang Kali, diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast