KUALA LUMPUR – Kelemahan nilai ringgit berbanding mata wang lain perlu ditangani segera oleh kerajaan dan bukan dibiarkan begitu sahaja.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, isu itu melibatkan harga makanan harian rakyat.
“Kerajaan perlu bincang dan buat keputusan segera bagaimana untuk tangani masalah ini. Isu ini serius,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Beliau mengulas laporan portal berita FMT berhubung kenyataan Pengarah Urusan Pasar Raya Besar Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin bahawa harga runcit beras 10 kilogram (kg) akan naik sekurang-kurangnya RM1 bulan depan.
Ameer Ali memberitahu, kenaikan itu adalah berpunca daripada nilai ringgit yang lemah serta kenaikan kos lain termasuk elektrik dan buruh.
Bulan lalu, harga beras 10 kg naik antara RM1 dan RM2 sekampit bagi beberapa jenis termasuk beras import putih.
Ringgit diniagakan pada RM4.66 berbanding AS$1 dan RM3.47 berbanding S$1 hari ini.
Walaupun kejatuhan nilai ringgit mencetuskan kebimbangan banyak pihak khususnya komuniti perniagaan, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan, kerajaan tidak berhasrat untuk campur tangan segera.
Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan akan menunggu impak positif yang akan terhasil menerusi penstrukturan semula ekonomi termasuk langkah subsidi bersasar yang dilaksanakan secara berperingkat. – MalaysiaGazette

















Kalau lambat ditangani, maknanya makin cepatlah kerajaan Madani pimpinan PMX merudum. Waktu tu menyesal dan pura pura nak ambil tindakan dah tak berguna..Wahai menteri PMX celek mata dan bertindak cepat..kalau tidak kamu yg hilang dari radar politik.