Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya,.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membentangkan laporan penilaian berkaitan status peralihan fasa endemik Covid-19 kepada Jemaah Menteri pada minggu depan.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, selepas pembentangan itu dibuat, satu pengumuman berhubung prosedur operasi standard (SOP) baharu akan dilakukan.

“Insya-Allah kita akan umumkan minggu depan selepas saya membawa pembentangan Jemaah Menteri.

“Bahagian kesihatan awam telah memberi saranan untuk kita laksanakan SOP yang boleh dikategorikan sebagai SOP baharu dan selepas itu kita akan buat pengumuman mengenai perkara berkenaan,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KKM, di sini, hari ini.

Pada 30 Mei lalu, Zaliha memaklumkan Malaysia akan menilai semula status peralihan fasa ke endemik selepas pengisytiharan Kawasan Jangkitan Tempatan berakhir pada 30 Jun ini.

Tambah beliau, semakan tersebut turut mengambil kira garis panduan yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kes jangkitan Covid-19 dalam negara.

Berdasarkan portal KKMNOW setakat 17 Jun lalu, sebanyak 5,112,019 kes dikesan termasuk kes import manakala kematian merekodkan sebanyak 37,118.

Diminta mengulas mengenai SOP untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri, Zaliha berkata, perkara itu akan diumumkan kelak.

“SOP untuk PRN pula, ia akan tergantung pada SOP baharu nantilah. Jadi insya-Allah kita tunggu (pengumuman) minggu depan,” jelasnya. – MalaysiaGazette