Teresa Kok

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Khalil Yahaya mengakui kesilapan dalam berkongsi poster fitnah di Facabook beliau.

Menurut Naib Pengerusi DAP itu, Khalil tidak seharusnya meletakkan kesalahan terhadap pentadbir Facebooknya selepas berkongsi poster bahawa beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

“YB Ustaz yang memaparkan berita palsu tentang perlantikan saya sebagai pengerusi Felda ini tidak harus menolak tanggungjawab kepada admin yang mengelola laman webnya.

“Akuilah itu kesilapannya sendiri! Ini baru jiwa kebertanggungjawaban,” kata Teresa melalui Facebooknya hari ini.

Menurut Teresa, sebagai wakil rakyat Pas, beliau sepatutnya berhati-hati sebelum memuat naik maklumat di media sosial.

“Jangan jadi penyebar berita palsu. Ini adalah kesalahan di bawah undang-undang dan juga dosa dari segi agama,” katanya.

Sebelum itu Khalil memohon maaf selepas laman Facebooknya berkongsi dakwaan yang Ahli Parlimen Seputeh berkenaan dilantik sebagai pengerusi Felda menggantikan Idris Jusoh.

“Permohonan maaf secara terbuka – hantaran tadi bukanlah dari pihak ADUN tetapi admin yang mengelola laman,” kata Adun Pas itu di Facebook.

Felda menafikan terdapat sebarang pelantikan baharu bagi jawatan pengerusi yang kosong berkuatkuasa 30 Jun ini.

“Tiada sebarang pengumuman rasmi berkenaan pelantikan Pengerusi Felda yang baharu sehingga hari ini 22 Jun 2023. Sebaran poster adalah tidak berkaitan,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Kenyataan itu dibuat menerusi Facebook Felda susulan tersebar poster mendakwa Teresa telah dilantik sebagai pengerusi yang baharu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast