Antara penyokong yang bersorak pada Konvensyen Pilihan Raya Perikatan Nasional Negeri Selangor 2023 di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 JUN 2023.

SHAH ALAM – Kerajaan memerlukan pemimpin bijak dan mampu mentadbir serta mengurus negara yang berdepan pelbagai krisis ketika ini.

Sebaliknya Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kesal kerana apa yang berlaku ketika ini terdapat pemimpin yang lebih gemar menjadi penyanyi dan selebriti ketika bertemu rakyat.

Malah kata bekas menteri Kabinet itu, lagu Azizah pula yang didendangkan oleh pemimpin tertentu apabila menghadiri acara dan bukannya menyentuh isu yang dihadapi rakyat.

“Dalam negara sedang menghadapi krisis, kita perlukan kepimpinan bukan penyanyi, selebriti, ini bukan masanya untuk menyanyi ‘oh Azizah’, kita kena nyanyi lagu rakyat, rakyat susah.

“Kita hendak pemimpin turun ke lapangan selesaikan masalah rakyat bukan naik basikal dalam pejabat. Kita hendak pemimpin yang memacu pertumbuhan ekonomi negara, mesti naik kuda bukan naik lembu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada berucap di Konvensyen Pilihanraya PN Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Ketika ucapan, satu video selingan turut ditayangkan di skrin besar di kiri dan kanan pentas yang memaparkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang menyanyi.

Selain itu, ucapan itu ibarat ditujukan kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad yang pernah viral menaiki basikal di pejabat dan menunggang lembu sado sebelum ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin menegaskan, kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor sebagai manifestasi penolakan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Beliau berkata, rakyat memerlukan kepimpinan yang mampu membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi dan kos sara hidup. – MalaysiaGazette