Ketua Pegawai Eksekutif APSB, Siti Ainol Khabtiah Mohd. Jamil menyerahkan cenderamata kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan ketika melawat reruai APSB sempena SIBS 2024, di KLCC hari ini.

KUALA LUMPUR – Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 menjadi platform terkini kepada Syarikat Advance Pact Sdn. Bhd. (APSB) memperluaskan rangkaian dalam sektor pembuatan peranti perubatan.

Lebih bermakna, penyertaan APSB dalam SIBS 2024 kali ini akan menonjolkan peranti perubatan yang dibangunkan syarikat itu iaitu alat bantuan pernafasan (ventilator) atau VS1 yang sudah berjaya melepasi peringkat ujian klinikal.

Ketua Pegawai Eksekutif APSB, Siti Ainol Khabtiah Mohd. Jamil berkata, berbanding penyertaan syarikat itu dalam pameran perubatan sebelum ini, produk tersebut hanya diperkenalkan ketika masih di peringkat penyelidikan dan pembangunan (RnD).

“Tetapi bezanya penyertaan APSB dalam pameran kali ini, kita dengan bangganya dapat berkongsi dan memperkenalkan produk VS1 yang sudah melepasi ujian klinikal yang berjaya kita laksanakan dengan kerjasama Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Berbanding pameran-pameran sebelum ini, kita hanya berkongsi produk ini ketika masih di peringkat ujian, tetapi kini ia sudah siap sepenuhnya, malah terbukti selamat untuk digunakan dalam rawatan pesakit dan proses seterusnya adalah proses kelulusan oleh pihak Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA),” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

APSB merupakan antara syarikat pembangun peranti perubatan yang menyertai SISB 2024 yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga Sabtu ini, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

PEGAWAI APSB memberi penerangan mengenai produk syarikat itu yang dipamerkan pada reruai sempena SIBS 2024 di KLCC, hari ini.

Sementara itu, Siti Ainol Khabtiah berkata, pada penyertaan kali ini juga, APSB menerusi dua reruai yang dibuka turut mengambil peluang memperkenalkan dua fokus utama iaitu perkhidmatan pengurusan fasiliti dan juga dalam bidang peranti perubatan yang ditawarkan syarikat itu kepada orang ramai.

Antaranya, kata beliau, dari sudut pembangunan aplikasi sistem aset dan latihan serta kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan dalam sektor pembangunan produk atau peranti perubatan.

“Selain itu, pada pameran kal ini juga, kita turut memperkenalkan APSB kepada orang ramai dengan mempamerkan perjalanan dan penglibatan syarikat ini dalam RnD peranti perubatan bermula dari 2020 sehinggalah sekarang,” katanya.

RERUAI APSB sempena SIBS 2024 di KLCC.

Mengulas mengenai penyertaan APSB dalam SIBS 2024 pula, Siti Ainol Khabtiah berkata, ia merupakan peluang dan platform terbaik buat syarikat itu untuk memperkenalkan produk perubatan yang dibangunkan, sekali gus menempatkan diri dalam pasaran produk perubatan dengan lebih meluas.

“Ini adalah tahun ketiga APSB menyertai pameran seperti ini dan sepanjang tempoh itu, kita semakin dikenali.

“Perkhidmatan yang kita bangunkan juga mudah untuk kita sampaikan dan tawarkan kepada pihak sasaran menerusi platform seperti ini sebab kita dapat pelbagai pihak seperti agensi kerajaan dan swasta turut menyertai pameran ini,” katanya.

Dalam masa sama, tambah beliau, program seperti itu juga disertai pihak institusi pengajian tinggi (IPT) yang turut membuka peluang kerjasama kepada APSB terutama dari sudut inovasi dan RnD peranti perubatan pada masa depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast