Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika hadir meninjau tapak kejadian tanah runtuh di Taman Melawati. Foto SADIQ SANI, 16 OKTOBER 2024

AMPANG – Kawasan kejadian tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati yang berlaku semalam merupakan antara 114 lokasi hotspot atau titik panas yang dikenal pasti berisiko tinggi dalam daerah Ampang Jaya, Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, hasil penelitian yang dibuat sebanyak 400 hingga 600 kawasan hotspot direkodkan sepanjang kawasan batu kapur dari Hulu Klang hingga Batu Caves.

Menurutnya, sebanyak 114 tanah berisiko tinggi telah ditandakan sebagai zon kuning, jingga, merah itu (paling berisiko) manakala 400 (ditahap berisiko) ia berulang kali berlaku di kawasan Ampang Jaya.

Keadaan semasa tapak kejadian tanah runtuh yang berlaku di Taman Melawati pagi semalam. Foto SADIQ SANI, 16 OKTOBER 2024

“Jika kita lihat strukturnya (tanah runtuh), kawasan ini terletak di atas batu kapur, kalau kita lihat yang putih itu adalah batu-batu kapur

“Ia dalam rangkaian batu kapur panjang dari Hulu Klang ke Batu Caves, dan apabila air mengalir melaluinya selama berbulan-bulan, risiko tanah runtuh lebih tinggi.

“Bila berlaku pergerakan air selama beberapa bulan di situ, maknanya gelongsoran akan mudah berlaku. Kita telah memberi maklum ketika dahulu, tapi takkanlah kita hendak keluarkan semua rumah di sini,” katanya pada pemberita  melawat lokasi tanah runtuh di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, pihak berkuasa juga sudah mengesan beberapa kawasan yang cenderung untuk berlaku tanah runtuh dan tindakan langkah berjaga-jaga telah diambil.

Difahamkan, punca runtuhan itu berlaku berpunca daripada longkang yang tersumbat di sebelah atas (Jalan G2) yang dipenuhi dengan batu dan tanah yang tidak dibersihkan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melihat peta kejadian tanah runtuh yang berlaku di Taman Melawati semalam. Foto SADIQ SANI, 16 OKTOBER 2024

Malah jumlah kumulatif hujan yang direkodkan bagi tiga hari sebelum kejadian adalah sebanyak 136.5 milimeter (mm) atau 45.5 mm untuk sehari.

Kadar taburan hujan yang direkodan pada hari kejadian iaitu 15 Oktober sehingga jam 3 petang semalam adalah 74 mm melebihi ambang kumulatif bagi tiga hari.

Semalam, hujan lebat sejak awal pagi telah mengakibatkan kejadian tanah runtuh setinggi 30 meter di Jalan E6, Taman Melawati, di sini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima maklumat tersebut sekitar pukul 11.42 pagi tadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast