Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Azmin Ali berucap pada Konvensyen Pilihan Raya Perikatan Nasional Negeri Selangor 2023 di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 JUN 2023.

SHAH ALAM – Bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin masih mempunyai peluang untuk membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menuntut RM10 juta ke atas beliau selepas keluar parti itu tiga tahun lalu.

Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini kerana bekas menteri Kabinet itu mempunyai hak di dua peringkat mahkamah lagi mengikut Perlembagaan.

Justeru, Azmin yang juga bekas menteri Kabinet berharap proses mahkamah dihormati semua pihak.

“Jadi kita jangan gelojoh untuk mendahului keputusan mahkamah, ada lagi dua peringkat mahkamah iaitu Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

“Saya kira proses itu harus dihormati semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikin ketika ditemui pada Konvensyen Pilihanraya Perikatan Nasional Selangor 2023 di Ideal Convention Centre di Seksyen 15 di sini hari.

Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang membenarkan PKR menuntut RM10 juta daripada Zuraida yang keluar parti itu tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir, membuat keputusan itu selepas mendapati hujahan Zuraida bahawa bon itu ditandatanganinya atas alasan dipaksa adalah tidak berasas.

Mahkamah juga memerintahkan Zuraida membayar kos RM50,000 kepada PKR.

PKR memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan pada 28 September 2020 melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, selaku plaintif dengan menamakan Zuraida selaku defendan.

Menerusi saman itu, PKR mendakwa Zuraida bersetuju membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Pada 24 Februari 2020, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain mengumumkan peletakan jawatan, namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali Perikatan Nasional (PN).

PKR turut menuntut Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak, faedah lima peratus setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Akhtar berkata, dakwaan Zuraida bahawa RM10 juta adalah tidak seimbang dengan jumlah yang dibelanjakan untuk pencalonan pilihan raya juga tidak berasas. – MalaysiaGazette