KUALA LUMPUR – Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut manakala dua jurulatih parah selepas bom lempar meletup ketika menjalani sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin di Gemas, Negeri Sembilan, hari ini.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mengesahkan insiden tersebut menerusi satu kenyataan berkata, insiden berlaku pada jam 12.10 tengah hari ketika anggotanya sedang menjalani Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPPP Kls 1) di Tapak Latihan Grenade Asas di kem tersebut.

Katanya, anggota terbabit meninggal di lokasi kejadian manakala jurulatih yang mengalami kecederaan diberikan rawatan awal di Hospital Tentera Darat Gemas dan telah dirujuk ke Hospital Segamat.

“Pihak TUDM telah menghubungi waris anggota TUDM yang terlibat dan menyerahkan kes
kejadian kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, TUDM akan menubuhkan Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti
punca kejadian.

Sementara itu, TUDM meminta orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi
dan menghormati sensitiviti keluarga anggota yang terlibat.

Katanya, maklumat perkembangan insiden akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette