KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjalankan Operasi Khas Hari Raya Aidiladha 2023 selama empat hari bermula 27 hingga 28 Jun ini dan 1 hingga 2 Julai.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, ia bertujuan memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan jalan raya.

Beliau berkata, JPJ akan menjalankan aktiviti penguatkuasaan yang memfokuskan kepada sembilan kesalahan utama sempena Ops Khas HRAA 2023.

“Antara sembilan kesalahan itu ialah memandu melebihi had laju, gagal mematuhi peraturan lampu isyarat, memotong di garisan berkembar dan memandu kenderaan berat di lorong laju.

“JPJ turut memantau kesalahan lain termasuk memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar, lebih muatan dan penggunaan telefon bimbit semasa memandu,” katanya pada sidang media di Plaza Tol Gombak, di sini, hari ini.

Terdahulu Hasbi mengedarkan 100 pek kesedaran sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidiladha.

Selain itu, katanya, kempen itu memberi fokus kepada kepentingan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) yang direka khas untuk kanak-kanak duduk di dalam kenderaan.

“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh pihak PDRM, sebanyak 1,252 kes kematian melibatkan kanak-kanak berusia 10 tahun dan ke bawah dicatatkan dari 2012 sehingga 2021.

“JPJ mengambil serius isu tersebut yang perlu ditangani dan penguatkuasaan dijalankan secara advokasi kepada pemandu yang didapati tidak meletakkan kanak-kanak di dalam kerusi keselamatan,” katanya.

Jelasnya, sasaran utama kempen kali ini lebih tertumpu kepada keluarga yang mempunyai kanak-kanak memandangkan kempen ini memfokuskan kepada CRS dan juga pemakaian tali pinggang keledar.

“Kerajaan ingin menyeru bahawa pemilihan dan pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak haruslah mematuhi piawaian ISO seperti yang telah ditetapkan.

“Aksesori itu membantu kanak-kanak semasa berlakunya perlanggaran dengan mengurangkan risiko kecederaan yang mungkin berlaku sekiranya berlaku kemalangan.

“Kerajaan berharap kempen kali ini dapat memberi kesedaran khususnya kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil tentang betapa pentingnya penggunaan CRS.

“Ia tidak mengira jarak perjalanan kepada pengguna jalan raya, sekali gus dapat mengurangkan kadar kematian yang berpunca daripada kemalangan di negara ini,” katanya.

Di samping itu, JPJ juga memfokuskan kepada Ops Motosikal secara bersasar kepada penunggang atau pembonceng motosikal di seluruh negara.

“Fokus ini berdasarkan rekod kemalangan maut pengguna motosikal bagi tempoh 2010-2022 adalah paling tinggi jika dibandingkan dengan pengguna kenderaan lain (melebihi 60%),” katanya.

Katanya lagi, JPJ turut melaksanakan strategi penguatkuasaan menerusi aktiviti penyamaran dan pemeriksaan bas melibatkan 28 terminal bas utama di seluruh negara.

“Ia bertujuan memastikan bas sentiasa berada dalam keadaan road worthiness untuk membawa para penumpang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette