Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berucap ketika hadir ke program Santai Peladang bersama pemimpin Ahli Peladang ketika di Raia Hotel, Alor Setar. Foto MOHD ADZLAN 26 JUN 2023.

ALOR SETAR – Bagi menangani isu kelewatan pembekalan skim baja subsidi untuk dihantar ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengambil langkah proaktif dengan melancarkan kempen ke arah ‘Zero Late Delivery‘.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sudah tiba masanya NAFAS selaku payung bagi rantaian pertubuhan peladang mentransformasikan pergerakan bagi memantapkan perkhidmatan yang ditawarkan.

Jelasnya, kempen ke arah ‘Zero Late Delivery‘ ini dilihat mampu meningkatkan hasil pendapatan kepada para petani sekali gus menyumbang peningkatan hasil negara bagi sektor pertanian.

“Saya menyokong penuh kempen tersebut dan saya melihat NAFAS menyahut hasrat kerajaan dalam memastikan warga peladang didahulukan selaras dengan dasar agro makanan negara dalam meningkatkan hasil pendapatan petani sekali gus membantu dalam meningkatkan peratus kos sara diri (SSL).

“Saya percaya NAFAS dapat melaksanakannya kerana mereka mempunyai kekuatan dari pelbagai sudut,” katanya ketika berucap pada pelancaran Kempen ke arah ‘Zero Late Delivery‘ di Hotel Raia di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob; Timbalan Ketua Pengarah Operasi Lembaga Pertubuhan Peladang, Nik Mohd Shaharil Nik Md Hashim dan Pengurus Besar NAFAS, Mohammad Faris Arriffin.

Empat elemen utama menjayakan kempen ke arah ‘Zero Late Delivery‘ iaitu memastikan stok bahan mentah tersedia bagi membolehkan kilang membuat baja sebatian dan memastikan kilang beroperasi membuat baja bagi membolehkan stok baja tersedia untuk dihantar ke PPK.

Dua lagi elemen adalah memastikan pengangkutan tersedia untuk menghantar baja dan meningkatkan kecekapan pengurusan dokumentasi bagi memastikan aliran tunai berkeupayaan menampung pembelian bahan mentah, pembuatan dan penghantaran baja.

Mengulas lanjut Mohamad memberitahu, pihaknya mengambil maklum semua perkara yang menjadi kekangan serta isu-isu semasa melanda NAFAS khususnya membabitkan isu kelewatan penerimaan bahan mentah yang diimport dari negara luar.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada program Santai Peladang bersama pemimpin Ahli Peladang ketika di Raia Hotel, Alor Setar. Foto MOHD ADZLAN 26 JUN 2023.

Beliau juga maklum mengenai situasi kewangan NAFAS sekarang yang mana terpaksa menanggung kos penyediaan baja subsidi yang meningkat.

“Perkara tersebut telah diangkat ke peringkat kementerian dan kita juga mohon dengan Kementerian Kewangan berkenaan pelarasan harga VOP (syarat perubahan harga) bagi skim baja subsidi. InsyaAllah semuanya akan selesai dalam masa terdekat.

“Saya yakin NAFAS dengan barisan kepimpinan PPN dan PPK dapat sama-sama menggalas amanah yang diberikan dengan baik dan terus membina pergerakan Pertubuhan Peladang yang berdaya saing di peringkat global berasaskan penyertaan peladang yang efektif,” kata beliau. – MalaysiaGazette