Dua kenderaan remuk teruk dalam nahas di Mersing awal pagi tadi.

MERSING – Seorang wanita warga Thailand maut, manakala 15 lagi termasuk tiga kanak-kanak perempuan cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 14, Jalan Jemaluang di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing Supt Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pelancong berusia 22 tahun itu  yang merupakan penumpang kenderaan MPV Mitsubishi Grandis disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami cedera parah pada bahagian muka.

Beliau berkata terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis BMW X5, Perodua Myvi dan Mitsubishi Grandis itu, kira-kira 3.30 pagi.

“Hasil siasatan mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta BMW X5 yang dipandu lelaki tempatan berusia 32 tahun dari arah Mersing telah hilang kawalan ketika melalui selekoh, sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Kejadian itu menyebabkan berlaku pertembungan dengan dua kenderaan iaitu kereta Perodua Myvi dan Mitsubishi Grandis yang datang dari arah Johor Bahru hingga mengakibatkan seorang lelaki tempatan patah tangan, manakala 13 yang lain hanya cedera ringan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Abdul Razak berkata hasil ujian air kencing yang dijalankan terhadap pemandu BMW X5 itu negatif dan pihaknya telah merakamkan keterangan sebelum dia dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Anuar Hussine berkata sebuah jentera ‘Light Fire Rescue Tender’ (LFRT) dengan kekuatan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mersing telah digegaskan ke lokasi kejadian.

Katanya mayat mangsa dikeluarkan dengan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Mersing dengan menaiki ambulans milik Kementerian Kesihatan. — BERNAMA