Kon Yeow bersalam dengan barisan exco kerajaan negeri Pulau Pinang selepas sesi ucapan pembubaran DUN di Komtar hari ini. Gambar ihsan - FB CKY

GEORGE TOWN – Exco kerajaan ‘caretaker’ Pulau Pinang masih boleh menggunakan kenderaan rasmi sehingga sehari sebelum hari penamaan calon.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia susulan kesemua mereka perlu lagi menjalankan tugas pentadbiran meskipun pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa esok.

Bagaimanapun jelas beliau, sehari sebelum hari penamaan calon penggunaan kenderaan rasmi exco-exco berkenaan akan terhenti dan akan dibawa oleh pemandu ke depoh.

“Mulai esok kita akan jalankan tugas sebagai kerajaan sementara namun segala kemudahan kerajaan negeri termasuk kenderaan rasmi masih boleh digunakan kerana kerja-kerja pentadbiran berjalan seperti biasa.

“Ini kerana apa yang dimaklumkan oleh setiausaha kerajan negeri pada masa dahulu, kereta rasmi adalah untuk kegunaan exco bagi urusan rasmi dan persendirian.

“Misalnya, mereka nak guna untuk pergi mesyuarat di ibu negara, membawa isteri ke pasar mahupun tengah malam nak makan nasi kandar pun boleh, tak timbul masalah kerana kita masih dalam keadaan transisi,” katanya pada sidang media di Komtar di sini, hari ini.

Sementara itu, Kon Yeow berpendapat minggu pertama dan kedua Ogos adalah tempoh paling sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15.

”Semua sedia maklum PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh DUN dibubarkan dan ikutkan ada negeri telah membubar DUN sejak 22 Jun lalu.

“Jadi kalau mahu diselaraskan PRN tidak boleh lebih dari 21 Ogos ini sekali gus kita jangkakan masa paling sesuai adakan PRN adalah minggu pertama dan kedua Ogos,” katanya. – MalaysiaGazette