Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menolak laporan berita yang mendakwa beliau mengancam penonton TikToknya dengan tindakan polis kerana menghantar komen mengkritik dirinya dan kerajaan.

Beliau mengingatkan penonton supaya tidak membuat kenyataan provokasi berhubung isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R).

“Mengenai 3R, semua yang saya katakan tetap sama. Ia perkara yang sama yang (Menteri Dalam Negeri) Saifuddin Nasution Ismail telah katakan.

“Saya memberi peringatan kepada semua orang supaya tidak menyiarkan komen 3R yang menghasut.

“Apabila saya membuat siaran langsung di TikTok selalunya komen orang ramai menyentuh 3R. Saya telah mengatakan ini di banyak tempat bahawa pengguna media sosial tidak boleh menggunakan 3R untuk tujuan politik,” katanya.

Menurut FMT, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu  telah memerhatikan ramai pengguna membuat kenyataan yang menghina setiap kali dia menyiarkan secara langsung di media sosialnya itu.

Fahmi mengingatkan pihak berkuasa mungkin mengambil tindakan terhadap mereka.

Terdahulu sebuah portal berita melaporkan, siaran langsung Fahmi di Tiktok diakhiri dengan tindakan menteri  itu mengancam penonton dengan tindakan polis kerana menyiarkan komen mengkritik beliau dan kerajaan.

“Kamu semua yang menyertai sesi langsung saya dan membuat kenyataan seperti ini, kamu sedang dipantau oleh pihak berkuasa.

“Jangan marah saya jika ada panggilan atau kereta peronda di luar rumah anda. Kami pantau, jaga diri,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Malaysia Now.-MalaysiaGazette