The Hague Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda yang memihak kepada Malaysia dengan menolak untuk mengiktiraf anugerah akhir yang dikeluarkan melalui proses timbang tara yang tidak sah dan disalahgunakan oleh pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu sekali gus menghalang apa-apa usaha oleh pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan mereka yang tidak sah terhadap kerajaan Malaysia di Belanda.

Menurut beliau, keputusan Mahkamah Rayuan The Hague itu merupakan satu lagi kemenangan penting kepada kerajaan Malaysia rentetan daripada keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun lalu.

“Kerajaan Malaysia yakin bahawa dengan keputusan ini, kerajaan adalah semakin hampir untuk membatalkan sepenuhnya anugerah akhir yang tidak sah dan disalahgunakan oleh pihak yang menuntut yang berjumlah hampir AS$15 bilion yang dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa sekali gus menjadikan tuntutan tersebut hanyalah sebagai sebahagian daripada sejarah.

“Malaysia percaya bahawa keputusan Mahkamah Rayuan The Hague hari ini, bersama-sama dengan keputusan Mahkamah Rayuan Paris baru-baru ini akan menamatkan usaha sia-sia pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan anugerah akhir di negara-negara lain,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan The Hague menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mendapatkan pengiktirafan dan penguatkuasaan tuntutan anugerah sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia, yang dikatakan melalui proses timbang tara pada Februari tahun lalu.

Anwar memberitahu, sehingga kini, kerajaan Malaysia tidak pernah berhenti dalam usaha untuk melindungi kedaulatan, keselamatan negara dan kepentingan negara.

“Kes Sulu ini membuktikan bahawa terdapat pencabulan yang nyata terhadap kekebalan kedaulatan Malaysia yang merupakan suatu perkara penting bagi setiap warganegara Malaysia Madani,” jelasnya.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Sekretariat Khas yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan semua kementerian dan agensi berkaitan, termasuk peguam antarabangsa dan semua pihak yang terlibat dalam usaha itu.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia akan meneruskan usaha melalui apa-apa jua cara bagi menentang eksploitasi dan penyalahgunaan sistem timbang tara antarabangsa termasuk mengambil sebarang tindakan yang perlu bagi mendapatkan kembali segala kos perundangan dari sumber kewangan negara yang terpaksa dibelanjakan dalam menangani tuntutan ini.

“Kerajaan Malaysia yakin bahawa ia dapat menegakkan keadilan bagi seluruh rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast