Anwar pada sidang media yang disiarkan secara langsung bersama Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandonesempena Lawatan Rasmi Perdana Menteri Malaysia ke Laos di Vientiane, Laos hari ini.

KUALA LUMPUR – Malaysia yakin dengan peningkatan potensi pelaburan daripada Laos dalam bidang tenaga boleh diperbaharui selepas perkembangan positif yang dicatatkan sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia dibuktikan apabila peningkatan pelaburan dalam bidang itu melonjak sebanyak 425 peratus pada tahun lalu.

Beliau percaya banyak lagi peluang pelaburan mampu direalisasiian selepas meneliti potensi lain yang ada di Laos.

“Saya percaya ia boleh disegerakan dan dipercepatkan selepas melihat banyak potensi. Saya perlu berterima kasih kepada kerajaan dan sokongan anda untuk usaha kami.

“Kami telah berada di sini pada mulanya dengan loji hidro dan kami melihat Tenaga Nasional Berhand menyertai usaha itu dan dari segi teknologi boleh diperbaharui yang mempunyai potensi sangat besar.

“Kerjasama antara Tenaga Nasional dan Electricite du Laos dalam tenaga boleh diperbaharui adalah atas sokongan rakyat dan sokongan kerajaan anda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang disiarkan secara langsung bersama Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandonesempena Lawatan Rasmi Perdana Menteri Malaysia ke Laos di Vientiane, Laos hari ini.

Sebelum itu, kedua-dua pemimpin kemudiannya meneruskan mesyuarat dua hala dan akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) antara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Lao National Railway State Enterprise (LNRSE) serta Mutiara Perlis Sdn Bhd (MPSB) dan Thanaleng Pelabuhan Kering (TDP).

Anwar dan Siphandone juga menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Electricite du Lao (EDL).

Bagi bidang industri halal pula, Anwar mengalu-alukan Laos untuk bekerjasama termasuk perkongsian ilmu dalam industri tersebut yang sememangnya sinonim dengan Malaysia.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengulas Konsensus Lima Perkara (5C) apabila mengajak ASEAN kekal bersatu dan menyelesaikan konflik Myanmar yang menjejaskan rantau tersebut.

Sementara itu, Siphandone dalam sidang media sama berkata, kedua-dua negara bersetuju untuk mengukuhkan hubungan bilateral demi manfaat rakyat Laos dan Malaysia.

Beliau menambah, Laos juga sedia untuk meneroka bidang berpotensi seperti tenaga boleh diperbaharui, agrikultur dan pelancongan dengan Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast