Anggota polis membawa seorang suspek ke mahkamah untuk tuduhan selepas disyaki memukul seorang pekerja kedai serbaneka 7 Eleven di Semenyih di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 27 JUN 2023.

BANGI – Seorang penyelia tapak pembinaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang pekerja kedai serbaneka di Semenyih minggu lalu.

Tertuduh, Divagaran Uthaya Sooriyam, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nordiyanah Mohd Nawawi.

Mengikut pertuduhan, Divagran didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah ke atas Muhammad Adam Shahrul Amin Shah yang berusia 18 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di 7 Eleven Eco Hill Taipan, Semenyih, sekitar pukul 5 pagi pada Selasa lalu.

Anggota polis membawa seorang suspek ke mahkamah untuk tuduhan selepas disyaki memukul seorang pekerja kedai serbaneka 7 Eleven di Semenyih di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 27 JUN 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman manakala tertuduh diwakili peguam, Vickneswary Veerasamy.

Terdahulu, Siti Nur Liyana menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai serta memohon tarikh serahan dokumen dan laporan perubatan.

Vickneswary dalam hujahan pembelaannya merayu jumlah jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak bergaji tetap serta menanggung kedua ibu bapanya.

”Tertuduh memegang tanggungjawab menjaga ibu bapa yang sudah tua memandangkan dia satu-satunya anak lelaki selain tidak bergaji tetap antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan.

”Tertuduh juga perlu membayar komitmen ansuran kereta dan sewa rumah masing-masing RM500 serta perubatan ibu bapanya. Mohon jaminan serendahnya,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin serta bersetuju dengan syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen serta laporan perubatan mangsa.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pekerja sebuah kedai serbaneka di Semenyih cedera dipukul kerana menegur suspek yang bertindak mengambil tiga batang payung dan keluar dari premis tanpa membuat sebarang bayaran.

Dalam kejadian itu, pertengkaran mulut sebelum suspek kembali ke dalam premis dan menumbuk muka mangsa.

Suspek juga dilaporkan mengambil swafoto bersama mangsa selepas mencederakannya sebelum beredar meninggalkan premis.

Beberapa klip rakaman televisyen litar tertutup yang memaparkan insiden memukul pekerja terbabit tular di laman sosial.

Selain rakaman tersebut, gambar swafoto yang diambil oleh seorang lagi suspek bersama mangsa yang telah dipukul juga turut tular.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata, kedua-dua suspek berusia 31 tahun dan 32 tahun itu ditahan di Seremban, Negeri Sembilan dan Sepang, Selangor oleh Cawangan D9, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (Kajang pada 21 Jun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast