Kon Yeow (dua dari kiri) bertemu Tun Ahmad Fuzi di Seri Mutiara Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hari ini memaklumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu berkuatkuasa esok bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 diadakan.

Pengumuman dibuat selepas beliau selesai bertemu Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bagi memohon pembubaran DUN Pulau Pinang pagi tadi.

“Saya telah mendapat perkenan Tun Ahmad Fuzi bagi menandatangani proklamasi membubarkan DUN Pulau Pinang bagi membuka jalan untuk PRN yang akan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setelah semua negeri membubarkan DUN masing-masing.

Kon Yeow menunjukkan proklamasi yang ditandatangani Tun Ahmad Fuzi bagi memberi laluan kepada PRN.

“Pembubaran ini berkuat kuasa esok (28 Jun). Jadi saya berasa lega ini berakhir.. jadi kita boleh bergerak ke hadapan untuk melakukan persediaan untuk PRN,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Kon Yeow tiba di Seri Mutiara pukul 7.53 pagi untuk menghadap Tun Ahmad Fuzi dan sesi pertemuan itu berlangsung lebih 40 minit.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan pada PRU14, PH memenangi 37 kerusi manakala masing-masing dua dan satu kerusi dimenangi BN dan Pas

Pada PRU-15 lepas Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN namun media sebelum ini melaporkan pemimpin enam negeri itu mencapai kata sepakat bahawa masa paling sesuai pembubaran DUN masing-masing minggu terakhir Jun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast