Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada apabila menerima jemputan untuk menyertai atau memuat turun aplikasi perisian hasad (malware) ‘Pink Whatsapp’.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi kenyataan memaklumkan, aplikasi itu kononnya menawarkan ciri keselamatan serta privasi lebih baik, antaramuka boleh diubah suai serta keupayaan untuk menghantar fail lebih besar berbanding aplikasi WhatsApp yang biasa digunakan.

Bagaimanapun, selepas pemasangan, aplikasi perisian hasad tersebut boleh mengakses pelbagai item dalam telefon pintar pengguna seperti gambar, SMS dan senarai kenalan yang boleh membawa risiko keselamatan serius.

“Para pengguna akan menerima mesej dan pautan seolah-olah datang daripada WhatsApp yang mengajak untuk mencuba aplikasi baharu tersebut.

“SKMM menasihatkan pengguna untuk tidak memuat turun dan memasang aplikasi ‘Pink WhatsApp’ tersebut dan segera membuang aplikasi berkenaan sekiranya ia telah dipasang dalam telefon pintar.

“SKMM mengesyorkan pengguna untuk hanya memuat turun aplikasi mudah alih daripada gedung aplikasi rasmi seperti Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery,” kata kenyataan yang sama.

Menurut SKMM lagi, pengguna juga diminta untuk tidak menyebarluaskan sebarang pautan yang mencurigakan.

Katanya, SKMM menekankan kepentingan untuk berhati-hati ketika menggunakan aplikasi mudah alih, mengambil langkah pencegahan untuk melindungi maklumat peribadi serta mengelak daripada memuat turun aplikasi hasad.

“Para pengguna disaran kekal berwaspada dan laporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan ‘Pink WhatsApp’ kepada portal Aduan MCMC atau talian hotline Aduan di 1800188-030,” tambahnya. – MalaysiaGazette