DENGKIL – Kira-kira 5.1 juta kenderaan sehari dijangka menggunakan lebuh raya utama negara menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha esok.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peningkatan jumlah itu dijangka berlaku secara berperingkat bermula 27 Jun sehingga 3 Julai ini.

Beliau berkata, dari jumlah itu, purata harian trafik di Lebuhraya Utara Selatan dijangka mencapai sehingga 2 juta kenderaan.

“Bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 pula, masing-masing mencecah 170,000 dan 60,000 kenderaan sehari,” katanya pada sidang media di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil Arah Selatan, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ketua Pengarah LLM, Ir. Sazali Harun dan Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Nik Airina Nik Jaffar.

Tambahnya, Kementerian Kerja Raya (KKR) dan LLM telah bersedia sepenuhnya untuk memastikan kelancaran trafik di lebuh raya sepanjang musim perayaan kali ini.

“Syarikat konsesi perlu memastikan tiada kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan melibatkan penutupan lorong lebuh raya bermula 24 Jun hingga 3 Julai ini.

“Mereka juga perlu mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi pengguna Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 bagi membantu pengguna merancang perjalanan,” katanya.

Selain itu, syarikat konsesi perlu mengaktifkan laluan pintar atau laluan kontra di beberapa lokasi berdasarkan keperluan dan kesesuaian bagi menambah kapasiti dan melancarkan trafik.

“Syarikat konsesi juga perlu meningkatkan pengurusan pengoperasian dengan menambah sehingga 20 peratus petugas lebuh raya seperti anggota peronda, petugas di plaza tol dan anggota RELA.

“Kira-kira 4,000 petugas lebuh raya akan ditempatkan di lebuh raya khususnya lorong RFID bagi memastikan kelancaran trafik.

“Mereka akan membantu kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol.

“Petugas-petugas ini nanti akan dibekalkan dengan pengimbas RFID mudah alih agar aliran trafik tidak perlahan ketika membuat bayaran,” katanya.

Dalam pada itu, anggota Pasukan Tindak Pantas Kecemasan (ERT) akan ditempatkan bagi mempercepatkan tempoh tindakan menangani sebarang insiden yang berlaku di lebuh raya.

“Mereka juga perlu menyediakan jentera seperti kembalik dan kren di beberapa lokasi terpilih untuk membantu sekiranya berlaku sebarang insiden kemalangan,” katanya.

Selain itu, kemudahan tambahan turut disediakan khususnya tempat letak kereta dan tandas mudah alih di beberapa kawasan R&R di sepanjang tiga lebuh raya utama itu.

“Syarikat konsesi juga perlu menambah bilangan petugas untuk memastikan kebersihan tandas dan bekalan air di R&R serta bekalan minyak di stesen-stesen minyak mencukupi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast