Pengarah JAKOA Negeri Selangor dan Persekutuan, Mohamad Anis Othman bercakap kepada media ketika hadir pada Majlis Penyerahan Lembu Korban kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Selangor Fruit Valley (SFV), Bestari Jaya. Foto MOHD ADZLAN 28 JUN 2023.

KUALA SELANGOR – Ibadah korban haiwan ternakan tidak asing dengan masyarakat Islam bukan sahaja di negara ini tetapi juga seluruh dunia, dan kini ia seolah-olah menjadi satu kewajiban yang mana tanpa amalan itu, sambutan Hari Raya Aidiladha akan menjadi hambar.

Lazimnya ibadah korban ini dikendalikan orang Islam sendiri, namun berbeza pula dengan masyarakat Orang Asli di negara ini yang mana amalan itu dilakukan secara bergotong-royong bersama bukan Islam.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Selangor dan Wilayah Persekutuan, Mohamad Anis Othman berkata, gotong-royong itu menjadi kebiasaan kepada masyarkat Orang Asli walaupun upacara keagamaan itu melibatkan orang Islam.

“Dia sama saja dengan masyarakat Melayu, cuma dari segi gotong-royong itu ada melibatkan Orang Asli bukan Islam.

“Masyarakat Orang Asli ini sudah biasa sama ada Islam atau bukan Islam, dia tak ada perbezaan ketara.

“Kalau kita buat apa-apa program (termasuk ibadah korban) ia akan melibatkan semua Orang Asli, tak kira Islam mahupun bukan Islam,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bagi pihak masyarakat Orang Asli di Selangor menerima sumbangan 13 lembu korban hasil sumbangan Kerajaan Negeri Selangor untuk ibadah itu tahun ini.

Penyerahan itu dilakukan Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian dalam satu majlis di Selangor Fruit Valley, Bestari Jaya.

Dalam pada itu, Anis berkata, walaupun tahun ini hanya 13 kampung Orang Asli sahaja mendapat bantuan lembu korban, namun baki 61 kampung lain tidak terpinggir daripada ibadah itu

“Kita akan berbincang dengan mana-mana NGO bukan Islam, mereka akan bagi juga sumbangan kepada kampung-kampung yang tidak terlibat dengan bantuan lembu korban daripada kerajaan negeri,” katanya.

Ketika ditanya tentang soal agihan daging korban, beliau berkata, JAKOA masih berpegang kepada fakta yang dikeluarkan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.

“Kalau kita lihat pandangan daripada Mufti Wilayah Persekutuan, agihan lembu korban ini keutamaan kepada beragama Islam dahulu, selepas itu kalau ada lebihan daging korban, boleh diberi kepada bukan Islam,” katanya.

Aksi lembu yang akan dibawa menaiki lori sebelum dihantar ke 13 buah kampung orang asli di Selangor ketika Majlis Penyerahan Lembu Korban kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Selangor Fruit Valley (SFV), Bestari Jaya. Foto MOHD ADZLAN 28 JUN 2023.

Beliau tidak menolak kemungkinan pihaknya bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk memperbanyakkan penglibatan masyarakat Orang Islam dengan aktiviti keagamaan termasuk ibadah korban.

“Kita akan libatkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA), masyarakat Islam dalam kampung itu.

“Kita akan adakan program korban dan program lain berlandaskan Islam melibatkan semua kampung orang Asli di Selangor khususnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast