Ariffin bersama Ahli Parlimen Batu dalam pelancaran Jualan Rahmah Bergerak di Taman Datuk SEnu, Sentul Utama hari ini.

KUALA LUMPUR – Program Jualan Rahmah Bergerak yang digerakkan secara aktif sejak Sabtu lalu di 33 kawasan membabitkan 11 Parlimen di ibu negara  mendapat sambutan begitu luar biasa dari penduduk perumahan B40 bersasar sejak dilancarkan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Ariffin Samsudin berkata, beliau sendiri terharu melihat sendiri impak jualan Rahmah itu.

“Bagi saya, jualan rahmah bergerak ini sampai tepat pada sasarannya.

“Semalam walaupun harga ayam diletakkan pada harga RM10 seekor, ini berlaku depan mata saya di mana ada orang nak beli ayam merayu boleh tak beli ayam dengan bayar RM5 dulu,  tunggu anak balik nanti akan jelaskan baki RM5 lagi.

“Ini bukti program ini cukup bermakna dan benar-benar manfaatkan orang yang betul-betul memerlukan di perumahan B40,” katanya ketika ditemui pemberita di pelancaran program berkenaan di Parlimen Batu di kawasan perumahan Taman Dato Senu, Sentul Utama pagi tadi.

Ariffin juga menambah, program ini patut diperbanyakkan lagi untuk golongan B40 dan berjanji akan mencari alternatif agar 12 jenis barangan yang ditetapkan dalam jualan rahmah itu dijual lebih murah lagi.

Dalam pada itu ditanya mengenai jumlah jualannya setakat ini, Ariffin berkata, selama empat hari bermula Sabtu lalu sehingga semalam, keseluruhannya hampir RM400,000 jualan barang keperluan asas dengan peruntukkan barang bernilai hampir RM200,000 di setiap lokasi yang dibekalkan telah habis dijual sepenuhnya.

Malah katanya, di Parlimen Kepong menyaksikan barang habis dijual dengan pantas dalam masa dua setengah jam dan keseluruhannya ayam, telur, beras dan minyak masak paling banyak menjadi tumpuan golongan B40 semasa jualan tersebut.

Ditanya mengenai kenaikan harga barang menjelang sambutan Aidiladha pada esok, beliau berkata, setakat ini pihak penguatkuasanya tidak mengesan sebarang kesalahan kenaikan harga barang luar biasa di ibu negara.

“Jualan rahmah yang dimulakan di ibu negara dengan diskaun serendah 30 peratus telah berjaya mengimbangkan harga barang basah di ibu kota dan sekaligus membantu kita mengawal harga barang,”tegasnya.-MalaysiaGazette