KUALA LUMPUR – Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menandatangani perjanjian melibatkan jaminan kerajaan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Jaminan itu untuk menstruktur semula pinjaman entiti tersebut melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan agensi itu.
Sebahagian besar penstrukturan semula pinjaman ini akan melibatkan pengurangan prinsipal hutang Felda bersama institusi kewangan sebanyak RM7.9 bilion, kata Kementerian Kewangan.
Ia juga akan mengurangkan kos kewangan terhadap kadar faedah yang dikenakan serta membolehkan Felda memberi pemansuhan 80% hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion yang dilaksanakan pada tahun 2021.
Artikel berkaitan: Pelupusan sebahagian hutang peneroka Felda beri impak kepada aliran tunai
Felda bakal terbit sukuk, tamatkan LLA
“Jaminan kerajaan ini dijangka dapat menstabilkan kedudukan kewangan Felda serta menjamin model perniagaan yang lebih mampan supaya ia terus berupaya
mengangkat mobiliti sosial warga peneroka dan generasi baharu Felda,” kata Anwar.
Di samping itu, kerajaan telah menambah baik tatakelola penyaluran dana kepada Felda sebagai agensi badan berkanun kerajaan dengan melantik AmanahRaya Trustees sebagai pemegang amanah transaksi akaun bagi memastikan pelan transformasinya berada di landasan yang tepat serta memenuhi keperluan akauntabiliti dan integriti.
Kerajaan telah bersetuju memberi jaminan kerajaan kepada Felda pada tahun 2019 bagi membolehkan agensi tersebut melaksanakan pelan pemulihannya di bawah program transformasi yang telah bermula pada tahun 2020 untuk tempoh lima tahun. – MalaysiaGazette