Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR- Kabinet meluluskan cadangan penerbitan sukuk dengan jaminan kerajaan bernilai RM9.9 bilion oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi melaksanakan pelan pemulihan agensi berkenaan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Kabinet juga telah bersetuju untuk menamatkan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) bagi meningkatkan pendapatan teras daripada tanah ladang Felda.

“Kedudukan kewangan Felda dijangka mencatatkan aliran positif bermula tahun 2023 dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif tersebut.

“Felda akan kembali ke landasannya sebagai sebuah badan yang dihormati dan berdaya maju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu Felda yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Wahid Omar dan turut disertai oleh Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh itu telah membuat pembentangan di hadapan Kabinet pada 14 Oktober lalu.

Antara cadangan lain yang telah diterima Kabinet adalah penstrukturan semula hutang Felda dengan institusi kewangan serta meningkatkan daya berdikari peneroka.

Menurut Mustapa, pasukan petugas khas yang ditubuhkan kesinambungan daripada Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian FELDA’ yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 April 2019 itu telah mengenal pasti masalah-masalah utama yang dihadapi agensi berkenaan dan ianya perlu ditangani segera.

Antaranya masalah utama adalah struktur modal yang tidak mampan dan bebanan hutang yang tinggi berjumlah RM10.6 bilion.

Keadaan itu jelas beliau, berpunca daripada sumber pendapatan yang berkurangan terutamanya penerimaan bayaran pajakan bagi 351,000 hektar tanah ladang dan perkongsian keuntungan yang rendah berbanding jangkaan di bawah Perjanjian Pajakan Tanah (LLA).

Kelemahan tadbir urus dan pengurusan kewangan turut menyumbang kepada masalah yang dihadapi oleh Felda.

“Penyelesaian isu-isu yang dihadapi oleh Felda tidak akan lengkap tanpa pengukuhan tadbir urus serta kecekapan dalam menguruskan ladang.

“Sehubungan itu, Lembaga Pengarah serta pengurusan FELDA hendaklah komited meningkatkan kecekapan pengurusan dan menambahbaik tadbir urus.

Tegasnya, pelaksanaan cadangan-cadangan tersebut akan dipantau secara terperinci oleh sebuah jawatankuasa pemantauan yang akan melapor kepada Perdana Menteri.- MalaysiaGazette