Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman (berbaju melayu warna oren dan bersongkok) bersama anggota tentera dalam Majlis Ibadah Korban Aidiladha Tahun 2023 di Kem Perdana Sungai Besi hari ini.

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Raya Aidiladha dan Majlis Ibadah Korban Tentera Darat Tahun 2023 kali ini meriah apabila sebanyak 32 ekor lembu dikorbankan dalam majlis yang berlangsung di Kem Perdana Sungai Besi pagi tadi.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman hadir menyempurnakan majlis tersebut seawal jam 8 pagi tadi.

Terdahulu beliau menyertai solat sunat Aidiladha di Masjid Thoriq Ziyad sebelum menyembelih sendiri seekor lembu di situ.

Bercakap kemudian kepada pemberita, Mohammad berkata untuk tahun ini sebanyak 32 ekor lembu diterima pihaknya iaitu 10 daripadanya adalah lembu korban manakala 22 ekor lagi merupakan sumbangan individu dan syarikat luar kepada tentera darat.

“Kali ini jumlah lembu untuk Majlis Ibadah Korban telah meningkat iaitu 32 ekor berbanding hanya 23 ekor yang diterima semasa sambutan pada tahun lalu.

“Saya mengharapkan sumbangan sebegini diteruskan dan dipertingkatkan pada masa akan datang supaya dapat ia dapat dimanfaatkan untuk lebih ramai masyarakat tempatan kurang berkemampuan.

“Aktiviti ini dilaksanakan di seluruh kem tentera darat di seluruh negara. Anggota-anggota kita yang melaksanakan operasi diperbatasan turut diagihkan dengan lembu korban supaya mereka dapat merasakan atau melaksanakan akiviti korban di sana,” katanya.

Menurut Mohamad,  daging lembu yang dikorbankan pada pagi ini sebahagiannya diagihkan kepada warga tentera darat dan selebihnya akan diserahkan kepada sembilan badan bukan kerajaan untuk diagihkan kepada asnaf serta fakir miskin di sekitar ibu kota.

Beliau pada masa yang sama mengharapkan agar aktiviti ibadah korban dapat diteruskan pada masa-masa akan datang dengan sumbangan lebih banyak lembu daripada pihak NGO dan luar supaya dapat diagihkan kepada golongan kurang berkemampuan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast