badal haji
Kelihatan seorang jemaah haji wanita memegang kertas 'badal haji' di lokasi sekitar Arafah. - Gambar: Facebook

KUALA LUMPUR – Rakaman video yang tular dalam media sosial mengenai kemungkinan berlaku penipuan dalam melakukan badal haji untuk individu-individu yang sakit atau telah meninggal dunia mencetuskan kebimbangan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Dalam salah satu video yang dikongsikan oleh pemilik akaun Facebook Mahdi Azman, kelihatan helaian-helaian kertas memaparkan tulisan ‘badal haji’ serta nama individu yang diwakilkan dan gambar Jalur Gemilang serta bendera Arab Saudi diletakkan di atas tanah di Arafah.

Kemudian, sekumpulan jemaah lelaki dan wanita dipercayai dari negara jiran masing-masing mengambil kertas tersebut mengikut jantina si penama.

Gambar jemaah terbabit memegang kertas itu seterusnya dirakamkan oleh seorang individu lain kononnya sebagai bukti badal haji telah disempurnakan.

Selain itu, dapat dilihat ada jemaah yang mengambil lebih daripada sehelai kertas sekali gus menimbul keraguan kerana seorang jemaah hanya boleh menunaikan badal haji untuk seorang penama sahaja.

Kertas ‘badal haji’ dibuang begitu sahaja di atas tanah sehingga menyebabkan nama Malaysia menjadi buah mulut para jemaah di Arafah.

Mahdi mendakwa, lebih menyakitkan hati, kertas yang tertera kalimah suci ‘basmalah’ itu kemudian dibuang merata-rata dan menyebabkan ia boleh dipijak.

“Orang-orang sekitar Arafah banyak bercakap tentang negara kita selepas tengok kejadian ini.

“Allahul mustaan, pencemaran sampah dari sindiket bedal haji di bumi Arafah,” katanya.

Pada 20 Mei lalu, Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman meminta umat Islam di negara ini agar lebih berhati-hati dengan tawaran badal atau upah haji oleh agensi pelancongan atau individu tertentu agar mereka tidak ditipu.

Menurut beliau, tawaran badal haji sekitar RM1,000 sehingga RM3,500 ke atas adalah terlampau murah jika dibandingkan dengan harga asal permit haji yang harganya paling rendah adalah sekitar SR4,000 (RM4,800) dan lain-lain perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh penduduk tempatan Arab Saudi untuk menunaikan ibadat haji.

Sejak dua bulan lalu, beberapa individu termasuk yang bergelar selebriti mengiklankan tentang pakej badal haji yang jauh lebih murah berbanding kos sebenar dinyatakan oleh TH.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam hantaran Facebook meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan tersebut.

“Jika benar dakwaan ini perlulah ia disiasat segera dan dipandang serius kerana menipu dalam melakukan badal haji,” jelasnya. – MalaysiaGazette