David De Gea. Foto BBC.
LONDON – Peluang David De Gea untuk kekal di Manchester United semakin tipis selepas pemain itu dipermainkan oleh pihak pengurusan kelab berkenaan kontraknya, lapor The Athletic
Ini kerana sebelum musim lalu berakhir dilaporkan, De Gea telah bersetuju dengan beberapa cadangan tawaran kontrak baharu di mana dalam tawaran itu dia dikatakan sanggup menerima potongan gaji besar daripada gaji asalnya.
Malah, penjaga gol antarabangsa Sepanyol itu juga dilaporkan telah memberitahu kepada pemain lain bahawa dirinya akan meneruskan kariernya bersama United pada musim depan.
“Namun situasi itu kian berubah selepas Manchester United sekali lagi menghubungi De Gea di mana dalam rundingan itu mereka ingin penjaga gol itu menerima pemotongan gaji lagi dimana dalam draf kontrak baru ini, pemotongan gaji De Gea semakin besar.
“Angka itu dilaporkan jauh daripada tawaran pertama United dan keadaan ini membuatkan De Gea seperti dipermainkan.
“Dengan status tawaran sebegitu, kemungkinan besar De Gea tidak akan meneruskan kariernya di Manchester United meskipun pemain itu belum membuat keputusan setakat ini,” tulis laporan itu.
Penjaga gol itu dikatakan bersetuju dengan syarat-syarat ditetapkan termasuk me­ngurangkan gaji semasa 375,000 pound (RM2.2 juta) seminggu namun United kemudian telah berubah fikiran.
De Gea akan menjadi ejen bebas bermula esok dan dia belum bersetuju dengan tawaran kontrak terbaru kerana mahu memikirkan pilihan untuk meneruskan kariernya. – MalaysiaGazette