KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz dan isteri, Neelofa meluahkan rasa syukur kerana lembu yang bakal ditumbangkan untuk ibadah korban mempunyai ciri-ciri seperti disebut dalam al-Quran.
PU Riz berkata, perkara itu bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana selain disebut dalam al-Quran, mereka juga ingin memberikan yang terbaik untuk ibadah korban.
“Alhamdulillah, kami dapat lembu yang cantik tahun ini. Mungkin ada orang rasa macam pelik apabila kita bincang pasal lembu tetapi kita kalau nak korbankan lembu, kena mengikut ciri-ciri yang ditetapkan.
“Antaranya, adakah lembu itu bertanduk, mempunyai bonggol, saiz lembu dan warnanya seperti yang disebut dalam surah al-Baqarah.
“Kami bersyukur dapat lembu yang cantik, ada bonggol, bertanduk, besar dan berwarna putih.
“Tahun ini kami akan tumbangkan dua lembu. Satu untuk majlis korban di kampung dan satu lagi dibuat di Kuala Lumpur,” katanya kepada BH Online.
“Aidiladha disambut seperti biasa, serba sederhana. Cuma, kami akan beraya bersama adik beradik sahaja kerana orang tua kami pulang ke kampung.
“Secara kebetulan, ibu bapa mentua saya juga tiada di Kuala Lumpur kerana pergi bercuti.
“Bagaimanapun, saya akan mengundang adik-beradik untuk beraya bersama dan melihat majlis korban yang akan dilaksanakan,” ujar pemenang Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-29 ini. – MalaysiaGazette
















