GEORGE TOWN – Lapan individu termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki terlibat dalam pergaduhan di jalan raya berhampiran pusat hiburan di Jalan Pintal Tali di sini semalam.

Kesemua mereka ditahan polis  Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di tiga lokasi berasingan sekitar George Town.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata,  pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun.

Individu berkenaan mendakwa dipukul sekumpulan lelaki di luar sebuah pusat hiburan berkenana pada jam 2.15 pagi semalam.

“Bertindak atas maklumat kita berkas kesemua suspek di tiga lokasi berasingan sekitar George Town antara  7.30 hingga hingga 12.30 tengah malam tadi.

“Kesemua mereka merupakan penduduk negeri ini yang berusia antara 21 hingga 29 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Soffian, hasil ujian air kencing mendapati tiga daripada suspek positif ganja dan Erimin 5.

“Semakan lanjut juga mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

“Siasatan awal juga mendapati punca kejadian dipercayai disebabkan pertengkaran mulut akibat mabuk yang akhirnya membawa kepada pergaduhan.

“Kesemua suspek direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Soffian  menasihatkan orang awam agar tidak menularkan foto atau rakaman video kejadian bagi mengelak sebarang spekulasi. – MalaysiaGazette