Andre Onana. Foto Sky Sports.
LONDON – Pengurus Manchester United, Erik ten Hag secara peribadi akan menghubungi Andre Onana untuk meyakinkan pemain itu menyertainya di Old Trafford, lapor Sky Sports.
Dia yang juga individu yang banyak membantu pemain Cameroon itu mencapai kejayaan di pentas besar dilaporkan bercita-cita untuk kembali berkerjasama dengan penjaga gol berusia 27 tahun itu.
Sky Sports juga mendedahkan bahawa pengurus itu dilaporkan akan menghubunginya secara peribadi yang mana berharap hubungan baiknya dengan pemain itu dapat membantu memujuknya untuk berpindah ke England.
“Meskipun begitu pihak Inter Milan dilaporkan tidak akan membiarkan United mendapatkan pemain itu dengan mudah melainkan mereka menerima tawaran yang benar-benar memuaskan setidak-tidaknya £43 juta dan bonus tambahan,” kata laporan itu.
Sebelum ini, Inter dilaporkan akan menggantikan Onana dengan penjaga gol Shakhtar Donetsk, Anatoliy Trubin.
Perpindahan itu juga boleh membawa kepada lanjutan kontrak untuk penjaga gol senior mereka, Samir Handanovic.
Dalam laporan lain, pakar perpindahan, Fabrizio Romano mendedahkan bahawa United telah berbincang secara langsung dengan Onana dalam tempoh 24 jam terakhir. – MalaysiaGazette