Perempuan yang sedang mengayuh basikal dalam perjalanan ke sesi latihan maut digilis lori dalam nahas jalan raya di Jalan Banting-Tanjung Sepat semalam.Ihsan IPD Kuala Langat

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang berbasikal untuk ke sesi latihan maut digilis lori di Kilometer 64 Jalan Klang-Banting-Port Dickson, Kuala Langat hari ini

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridzwan Mohd Nor@Salleh berkata, siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa penunggang basikal itu sedang dalam perjalanan dari Sungai Pelek menghala ke arah Morib.

“Apabila sampai di lokasi kemalangan, penunggang basikal itu dipercayai berada di tengah-tengah jalan kerana jalan di laluannya rosak sebelum basikal mangsa bergesel di bahagian tengah sebelah kanan lori yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, akibat bergesel dengan kenderaan berat itu, mangsa didapati gagal mengawal basikalnya lalu terjatuh di atas jalan raya sebelum digilis lori tersebut.

Menurut Ahmad Ridzwan, mangsa yang berusia 39 tahun cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala pemandu lori berumur 50 tahun tidak mengalami kecederaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menyalurkannya dengan menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mazrol Mohd Din di talian 011-18539115 atau 03-31872222. – MalaysiaGazette