Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman . Foto AFFAN FAUZI, 01 JULAI 2023.

PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum membuat sebarang ketetapan berhubung sasaran  skuad Harimau Malaya dalam kejohanan bola sepak Piala Asia di Qatar pada Januari 2024.

Setiausaha Agong FAM, Noor Azman Rahman mengambil pendirian untuk terus mengunci mulut sambil menjelaskan pihaknya akan membuat pengumuman mengenai sasaran Harimau Malaya apabila tibanya masa sesuai.

“FAM belum lagi ada sasaran untuk ke Piala Asia di Qatar 2024 nanti. Bagaimanapun, sasaran Kim Pan Gon yang mahu anak buah dia sekurang-kurangnya melepasi peringkat kumpulan adalah sasaran peribadi dia.

“Sudah pasti sebagai jurulatih ini memang akan mensasarkan target tinggi untuk layak ke peringkat kedua, pusingan ke-16 dan seterusnya kerana dia mengharapkan yang terbaik dari skuadnya dengan meletakkan sasaran tertinggi (melepasi peringkat kumpulan) tetapi bagi kami, kata putus hanya akan maklumkan sasaran sebelum berlepas ke Qatar nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sasaran pasukan Harimau Malaya dalam Piala Asia Januari depan dalam sidang media Kongres FAM kali ke-59 di sini hari ini.

Terdahulu, pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-Gon pernah mengeluarkan kenyataan  anak buahnya berpotensi besar melakukan kejutan dalam Piala Asia di Qatar  selepas membelasah Papua New Guinea 10-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Terengganu Jun lalu.

Bagaimanapun Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pula mengambil pendirian berhati-hati  dengan memaklumkan  sekiranya skuad kebangsaan mampu meraih satu mata dalam kejohanan kali ini maka ia sudah boleh dianggap perkembangan positif.

Harimau Malaya yang layak secara merit kali ini untuk beraksi dalam Piala Asia selepas 17 tahun tersenarai dalam kumpulan E bersama pasukan terkuat Asia Korea Selatan, Bahrain dan Jordan membawa misi agak mencabar untuk melakar kejuatan kali ini.-MalaysiaGazette