Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menyaksikan sesi menandantangani memorandum persefahaman diantara Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman (tiga kiri) dengan Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Malaysia Aviation Group, Lau Yin May (tiga kanan) pada Kongres Tahunan ke-59 FAM 2023 di Hilton, Petaling Jaya. Foto AFFAN FAUZI, 01 JULAI 2023.

PETALING JAYA – Demi memastikan skuad Harimau Malaya terus terbang tinggi di persada antarabangsa, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan lanjutan kontrak dengan Malaysia Aviation Group Berhad (MAG).

Perjanjian lanjutan usahasama melibatkan syarikat induk Malaysia Airlines Berhad (MAB) itu selama tempoh tiga tahun bermula Januari 2024 hingga Disember 2026 berikutan perjanjian sedia ada selama tiga tahun sebelum ini bakal berakhir  31 Disember 2023.

Pembaharuan kerjasama kali ketiga bersama MAG itu telah dilangsungkan selepas Kongres Tahunan Ke-59 FAM di sini hari ini.

Dokumen perjanjian penajaan FAM bersama MAG itu telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman dan Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan MAG, Lau Yin May dengan disaksikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAG, Ahmad Luqman Mohd. Azmi.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berucap pada Kongres Tahunan ke-59 FAM 2023 di Hilton, Petaling Jaya. Foto AFFAN FAUZI, 01 JULAI 2023.

Menurut Hamidin, kehadiran Malaysia Airlines sebagai rakan penerbangan rasmi sejak 2019 telah banyak menyumbang kepada kejayaan-kejayaan yang telah diraih oleh skuad Harimau Malaya.

“Mewakili barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM serta seluruh tenaga kerja FAM, kami amat berbesar hati di atas lanjutan kerjasama bersama MAG ini yang mana organisasi penerbangan terbesar di negara ini terus memberi kepercayaan kepada jenama Harimau Malaya.

“Hubungan baik di antara FAM dan MAG sejak lima tahun lalu memberi satu mesej penting kepada penyokong-penyokong skuad kebangsaan di luar sana bahawa FAM bukan sahaja mampu memberikan nilai tambah kepada barisan penaja-penajanya malah dapat memberi impak yang positif terhadap sektor ekonomi negara.

“Tanpa MAG, visi FAM untuk melihat Harimau Malaya terbang jauh sudah tentu tidak akan kesampaian dan semoga hubungan strategik ini terus membawa nama FAM serta MAG di pentas antarabangsa,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail turut berkongsi rasa teruja atas lanjutan kerjasama bersama FAM melalui satu keratan media.

Kata beliau, pihaknya berbesar hati apabila pihak FAM terus memberi kepercayaan kepada jenama syarikat penerbangan kebangsaan, Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan rasmi skuad bola sepak negara ketika bertanding dan berjuang di persada antarabangsa.

“Sejajar dengan tanggungjawab kami sebagai pembawa bendera negara ke seluruh pelusuk dunia, kami ingin terus mara bersama-sama dengan FAM dan memainkan peranan kami dalam menaikkan mutu dan nilai sukan bola sepak ke persada dunia melalui layanan mesra Malaysian Hospitality.

“Dalam masa yang sama, kami juga berharap sumbangan kecil kami dalam menyediakan pesawat Airbus A330 dengan liveri khas Harimau Malaya dapat membangkitkan lagi semangat para pemain apabila bertanding di pelbagai kejohanan antarabangsa,” tegasnya.- MalaysiaGazette