Fadhlina Sidek

NIBONG TEBAL – Isu murid Tahun Satu di sebuah sekolah di Rembau, Negeri Sembilan dikatakan dikurung dalam sebuah ruangan berpagar besi yang menjadi tular di laman sosial, telah berjaya diselesaikan dengan baik.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kes berkenaan telah diselesaikan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri dengan baik, dengan persefahaman antara pihak sekolah dan juga ibu bapa kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu.

“Alhamdullilah ada penyelesaian secara baik antara pihak sekolah dan ibu bapa berhubung perkara itu, penyelesaiannya diuruskan dengan baik oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, jadi kita anggap isu itu sudah selesai.

“Keluarga murid itu juga menerima baik penjelasan yang diberikan dan pada saya penyelesaian dijalankan dengan sangat baik,” kata Ahli Parlimen Nibong Tebal itu kepada pemberita selepas program Korban Perdana Nibong Tebal di Masjid Jamek Al Huda Sungai Bakau, di sini hari ini.

Sejak beberapa hari lepas tular di laman Twitter ciapan seorang lelaki mendedahkan perkara itu, di samping memaparkan tangkap layar perbualan kumpulan WhatsApp dipercayai antara guru dan ibu bapa murid berkenaan.

Sementara itu Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata KPM telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang kini memasuki gelombang ketiga berjalan lancar.

“Gelombang ketiga ini maksudnya ia (PPPM) sudah hampir ke sampai ke penghujungnya, maka kini adalah tempoh kritikal untuk kita melihat keberkesanan inisiatif yang dilaksanakan dan ia akan dibawa ke pelan polisi kerangka pendidikan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saranan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mencadangkan sistem pendidikan negara perlu dirombak selepas terkesan akibat pandemik COVID-19. – BERNAMA

 

1 Komen

  1. Macam ni kan mudah selesai walau budak umur 7tahun dikurung… yang BEBAL KES PEREMPUAN CINA disaman Majlis di KELANTAN… tokey dan nyonya itu sudah declared “SELESAI” tapi bahlolnya tetap persoal peraturan Kerajaan Negeri KELANTAN.. bahlolnya tahap 10 bintang tu..

Comments are closed.