Hutan Simpanan Kekal (HSK) Rimba Teloi.-Foto MOHD ADZLAN 26 JUN 2023.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Malaysia berada antara 10 negara teratas dalam pengurangan kehilangan hutan utama setakat tahun 2022.

Menurut laporan World Resources Institute Global Forest Watch dan University of Maryland secara keseluruhan Malaysia mengurangkan kehilangan hutan utama sebanyak 57 peratus tahun lalu.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya mengalu-alukan perkembangan positif yang dinyatakan dalam laporan tersebut.

Beberapa faktor menyumbang ke arah pencapaian berkenaan antaranya penguatkuasaan yang lebih ketat dan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang semakin disebar luas.

Selain itu Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) untuk inisiatif Pemuliharaan Biodiversiti yang sedang dilaksanakan kerajaan dan tindakan proaktif pelbagai kerajaan negeri dalam melindungi hutan turut menjadi faktor pencapaian berkenaan.

“NRECC bagaimanapun menyedari bahawa Malaysia tidak boleh leka dan banyak lagi usaha perlu dilakukan untuk memastikan kehilangan hutan utama negara kita dihentikan sepenuhnya dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi berkata, kementerian akan terus melaksanakan beberapa inisiatif termasuk memperkasakan perundangan seperti Akta Perhutanan Negara 1984.

Kerajaan juga akan meningkatkan usaha untuk mewartakan kawasan hutan termasuk di kawasan central forest spine dan kawasan sensitif alam sekitar.

Selain itu peruntukan EFT tanun ini telah dipertingkatkan sebanyak 150 peratus kepada RM150 juta sejak pelaksanaannya pada tahun 2019.

“Kami mengalu-alukan semua pemegang taruh termasuk kerajaan negeri, sektor swasta dan masyarakat sivil, bersama-sama NRECC untuk memperkasakan pengurusan dan pembangunan hutan serta mengekalkan kawasan hutan sedia ada demi kelestarian alam sekitar.

“Kami menggesa semua rakyat Malaysia untuk terus menyokong usaha kami dalam melindungi hutan sebagai salah satu sumber negara yang paling penting, untuk memastikan kita dapat mewariskan warisan yang paling berharga ini kepada anak-anak kita dan anak-anak mereka juga,” katanya.

Malaysia pada Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro 1992 telah menyatakan komitmen untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok-pokok dan kawasan berhutan.

Sehingga kini Malaysia masih mengekalkan komitmen tersebut dengan kawasan berhutan adalah seluas 18.05 juta hektar atau 54.58 peratus daripada keluasan tanah negara.

Selain itu, Laporan Penilaian Sumber Hutan Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2020 turut menyenaraikan Malaysia sebagai salah satu negara yang diiktiraf sebagai negara Hutan Tinggi, Penebangan Hutan Rendah dalam kalangan 25 negara membangun yang lain.- MalaysiaGazette