David De Gea. Foto BBC.

LONDON – Selepas kontraknya berakhir di Manchester United, penjaga gol David de Gea kini berada dalam radar kelab Arab Saudi, Al-Nassr untuk muncul pemain terbaharu untuk menyertai Liga Pro Saudi itu dengan bayaran 250,000 pound (RM1.28 juta) seminggu.

Jika menjadi kenyataan, pemain dari Sepanyol itu akan kembali bergabung dengan bekas rakan sepasukannya di Old Trafford yang juga bintang dunia, Cristiano Ronaldo.

De Gea kini menjadi ejen bebas namun masih berpeluang kekal di Old Trafford sekiranya mereka mencapai persetujuan untuk perjanjian baharu.

Bagaimanapun tawaran dari Timur Tengah cukup tinggi berbanding tawaran untuk kekal bersama United yang akan memaksanya menerima bayaran lebih rendah berbanding gajinya dahulu.

Pada masa sama, United juga tidak sanggup untuk menunggu jawapan daripada De Gea dengan pengendalinya, Erik ten Hag sedang mencari penjaga gol terbaik.

Sementara itu, Al-Nassr turut memburu pemain tengah Inter Milan dan Croatia, Marcelo Brozovic, manakala masih menanti keputusan Hakim Ziyech.

Pemain tengah Chelsea itu mempunyai masalah kecederaan lutut dan ditawarkan kontrak dengan gaji lebih rendah, tetapi ditolak Ziyech.  – MalaysiaGazette