LONDON – Manchester United dilaporkan telah membuat tawaran untuk mendapatkan bintang muda Atalanta, Rasmus Hojlund dengan harga €35 juta.
Laporan Corriere dello Sport (CdS) yang berpengkalan di Rome bagaimanapun memberitahu, Atlanta menolak bidaan itu kerana kelab Serie A itu menetapkan harga €45 juta.
“Sekiranya mengenepikan permintaan itu, kemungkinan berlakunya perang bidaan antara United dengan Juventus yang turut meminati pemain Denmark itu.
“Malah Hojlund sendiri baru-baru ini memberikan petanda jelas bahawa dia mahukan perpindahan ke Old Trafford dan seolah-olah percaya perkara itu pasti boleh direalisasikan,” tulis laporan itu.
United ketika ini terdesak dalam pasaran perpindahan penyerang pada musim panas ini selepas kehilangan Edinson Cavani dan Cristiano Ronaldo tahun lalu.
Dengan sasaran utama mereka iaitu Harry Kane dan Victor Osimhen berada di luar jangkauan harga, The Red Devils telah meletakkan Hojlund sebagai sasaran utama seterusnya.
Terdapat laporan sebelum ini Atalanta sanggup menerima tawaran untuk pemain berusia 22 tahun itu malah ada mendakwa mereka telah meletakkan tanda harga €100 juta.
Sementara itu, Juventus berminat dengan Hojlund untuk menggantikan tempat Dusan Vlahovic yang mereka harapkan boleh dijual pada harga sekitar €80 juta. – MalaysiaGazette
















