KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga 10 mangsa lemas tragedi kepala air di Jeram Mawar, Kampung Air Putih, Chukai, Terangganu.

Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mereka sekeluarga dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh-roh Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” menurut kenyataan Istana Negara.

Sepuluh mangsa tragedi tersebut ialah Azizah Eiyi, 40, Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, Putri Aryana Umaira Karim, 4 dan Muhammad Fikri Saliman, 24.

Dalam pada itu, baginda berdua juga menzahirkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pasukan penyelamat serta orang ramai yang menyertai operasi mencari dan menyelamat kesemua mangsa tragedi tersebut.

Setakat ini, polis mengesahkan hanya empat mayat mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih di sini ditemukan pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini, dan bukannya tujuh seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata, kekeliruan itu timbul susulan masalah komunikasi di lokasi pencarian dengan Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih, di sini.

“Setakat hari ini kita telah jumpa enam mayat dan telah disahkan waris serta keluarga mangsa. Semalam kita jumpa dua, dan hari ini kita jumpa empat, menjadikan baki empat lagi mangsa masih hilang,” katanya sambil memaklumkan pasukan SAR berdepan masalah komunikasi apabila alat komunikasi yang digunakan tidak boleh berfungsi dengan baik ekoran keadaan geografi hutan tebal dan berbukit-bukau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast