Razarudin melawat bilik gerakan Op Cantas Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi memberi amaran kepada semua parti politik yang bakal bertanding agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan membabitkan unsur 3R iaitu raja (royalty), agama (religion) dan kaum (race) pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu didapati melakukan sebarang provokasi yang boleh menimbulkan kekacauan sepanjang tempoh kempen berkenaan.

Jelas beliau, ini kerana tanggungjawab polis untuk memastikan proses pilihanraya berjalan lancar selain memastikan keselamatan terjamin sehingga selesai PRN.

“Polis akan bertindak memantau kempen-kempen dan ceramah-ceramah yang dijalankan semua parti politik termasuk media sosial dan kita tidak akan teragak-agak untuk membuka kertas siasatan sekiranya wujud unsur 3R.

“PDRM juga meletakkan pasukan khas terdiri daripada pegawai perakam dan pegawai di zon di setiap kempen atau ceramah. Jadi, patuhilah undang yang termaktub dalam Akta pilihanraya itu sendiri,” katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

Mengulas lanjut Razarudin berkata, beliau sangat berpuas hati dengan persediaan empat negeri yang dihadirinya bagi sesi taklimat persiapan keanggotaan, sumber manusia, perancangan dan kebajikan pada PRN.

“Saya amat berpuas hati dengan persediaan empat negeri (Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor) selepas saya akan ke Kelantan dan Terengganu pula.

“Di Pulau Pinang, kita tambah keanggotaan seramai 663 dan Ketua Polis Negeri (Datuk Khaw Kok Chin) mengesyorkan serta mohon jumlah keanggotaan yang sangat ideal iaitu tidak terlalu lebih atau kurang sehingga boleh menjejaskan PRN,” jelas beliau. – MalaysiaGazette